IPOH- Perak dijanga mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus penduduk telah divaksin Covid-19 pada Oktober ini dengan jangkaan proses vaksinasi keseluruhan selesai pada November.
Jangkaan itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehingga kelmarin seramai 1,118,358 orang atau 60.04 peratus menerima dos pertama manakala 797,317 orang (42.81 peratus) lengkap dos kedua.
Menurut beliau, bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada kawasan berkepadatan tinggi, kapasiti harian pusat pemberian vaksin (PPV) awam sedia ditingkatkan di samping mewujudkan pemberian vaksin secara pandu lalu dan melaksanakan program jangkauan komuniti.
“Sehingga 24 Ogos lalu, terdapat 22 PPV awam, PPV pandu lalu (enam), PPV bergerak (14), PPV khas (lapan), PPV hospital swasta (15), PPV pengamal perubatan (150), PPV Pikas (lapan) dan masing-masing satu PPV Integrasi, PPV NGO dan PPV institut pendidikan tinggi.
“Kesemua PPV itu mencatatkan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari dengan rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Perak adalah sebanyak 39,998 orang semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) ketika sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929