IPOH – Penutupan sementara sekolah-sekolah di negeri ini termasuk 60 maahad tahfiz swasta adalah selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Bagaimana pun, sesi pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, arahan penutupan sekolah-sekolah tahfiz adalah selari dengan arahan MKN berhubung dengan kawalan penularan virus Covid-19.
“Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), tadika, sekolah menengah tahfiz negeri, sekolah menengah kerajaan negeri turut menjalankan proses pendidikan secara PdPR.
“Dalam keadaan krisis kesihatan global yang melanda negara kini, pihak pengurusan maahad-maahad tahfiz disaran agar mengendalikan pentadbiran sekolah dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap), Mohd. Azlan Suhaimi yang mendakwa 60 maahad tahfiz di Perak berdepan risiko ditutup selepas tidak dapat beroperasi sejak Mei lalu.
Rata-rata pengendalinya mendakwa hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan susulan tiada pelajar yang memulakan sesi pengajian manakala 2,500 pelajar akan keciciran dan 300 guru pula dijangka hilang pekerjaan.
Menurut Mohd. Yusop, dalam usaha membantu maahad-maahad tahfiz yang terjejas, kerajaan telah menyalurkan peruntukan hampir RM4.6 juta termasuk peruntukan perkapita, tahun ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929