fbpx

Pekerja tempatan jadi keutamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrul Zaman ketika menjawab soalan lisan Ahmad Faizal ketika Sidang DUN, hari ini.

IPOH – Sebanyak 6,000 peluang pekerjaan tersedia untuk diisi penduduk tempatan apabila Projek Pembangunan Bandar Sarung Tangan Integrasi, Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) bernilai RM1.5 bilion di Bidor mula beroperasi pada suku pertama 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata syarikat itu berbuat demikian bagi memastikan sumber tenaga kerja yang lebih mudah untuk memenuhi keperluan operasi kilang tersebut.

“Menyentuh isu keutamaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sukacita dimaklumkan kepada Yang Berhormat Chenderiang bahawa kilang-kilang yang beroperasi di negara ini akan tertakluk kepada polisi yang telah ditetapkan pada peringkat Persekutuan iaitu 80 peratus wajib dalam kalangan rakyat tempatan.

“Secara umumnya, pihak syarikat akan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan dalam memastikan sumber tenaga kerja yang lebih mudah dicapai untuk memenuhi keperluan operasi kilang berbanding pengambilan pekerja dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu – Chenderiang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Menurut Shahrul Zaman, pihak syarikat tersebut juga bakal mengguna pakai kelengkapan teknologi moden dalam operasi kilang sekali gus memastikan kebergantungan kepada buruh am terutama warga asing dapat dikurangkan.

Ujarnya, pembangunan kawasan industri yang besar seperti itu akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat termasuklah aktiviti perniagaan lain yang secara tidak langsung turut membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

Pada masa sama, jelasnya lagi, Gas Malaysia Berhad (GMB) kini dalam proses membangunkan jajaran paip gas asli yang akan disambungkan dari Changkat Jong di Hilir Perak ke Bidor di Batang Padang bagi memenuhi keperluan gas asli oleh kilang Kossan. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI