fbpx

‘Malapetaka’ Jason Momoa dalam Sweet Girl

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG yang sinonim dengan watak adiwira Aquaman, Jason Momoa muncul dengan filem aksi thriller, Sweet Girl menerusi platform Netflix.

JASON MOMOA telah melalui pelbagai fasa dalam kehidupannya sebagai seorang pelakon. Daripada peranannya sebagai Khal Drogo dalam siri ikonik, Game of Thrones kepada karakter adiwira menerusi Aquaman dan terbaharu, dia membuatkan penonton terus berpaut hati dengan karismanya menerusi Sweet Girl.

Tidak dinafikan, Jason merupakan antara pelakon lelaki yang sukar untuk tidak digemari penonton dek aura, susuk tubuh kekar dan kelaziman dirinya dengan watak adiwira bernama Arthur Curry dalam Aquaman.

Semestinya, apabila muncul dengan filem aksi thriller, Sweet Girl ramai yang menanti dengan penuh keterujaan.

Tolak ke tepi seketika tentang terjemahan karakter yang secara utamanya dimainkan dirinya bersama pelakon muda, Isabela Merced. Mereka berdua menjayakan watak sebagai bapa dan anak yang kehilangan insan tersayang.

PENAMPILAN pelakon wanita muda, Isabela Merced memainkan watak Rachel Cooper tidak mengecewakan.

Plot, terjemahan lemah

Jantung kepada sesebuah filem adalah plot atau naratifnya dan perihal tersebut nampaknya kurang dijayakan dengan cermat oleh sutradara, Brian Andrew Mendoza.

Secara peribadi, penulis menyifatkan Sweet Girl sebuah karya bernuansa aksi yang tidak mempunyai arah tuju yang spesifik. Keberadaan Jason, seorang bintang kesayangan ramai tidak dioptimumkan dengan seadil-adilnya.

Mesej yang ingin disampaikan pengarah tentang seorang bapa yang ingin membalas dendam atas kematian isteri tersayang disebabkan kanser dengan menyalahkan keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat farmaseutikal, BioPrime dilihat sangat berkecamuk.

Penulis berasakan beberapa babak penting yang dijayakan tidak dihubungkan dengan cermat sehingga membuat penonton terpinga-pinga ‘di tengah jalan’.

Sebagai contoh, entah dari mana akses Ray Cooper (lakonan Jason) dengan mudahnya mendekati CEO BioPrime, itu tidak diterjemahkan dengan jayanya.

Contoh lain, pada waktu ‘tikam-menikam’ dalam kereta api, penulis juga tidak nampak hubung kait kukuh. Babak tersebut tiba-tiba sahaja muncul tanpa alasan kukuh.

TIADA masalah dari segi cetusan kimia antara Jason Momoa dan Isabela Merced yang berperanan sebagai bapa dan anak dalam Sweet Girl.

Aksi, terjemahan karakter

Dari aspek aksi, tidak banyak yang boleh menderaskan adrenalin. Sangkaan ramai penglibatan Jason sebagai nadi utama sudah boleh menjamin karya ini akan pergi jauh ternyata meleset.

Kegagalannya terasa seperti melibatkan seorang atlet kelas Olimpik, namun bertanding di peringkat Sukan SEA. Itu yang penulis rasakan.

Bagaimanapun, dari segi kualiti lakonan, Jason tidak gagal menjayakan watak seorang suami, babkan seorang bapa yang ingin membalas dendam atas kematian isteri dan ibu kepada anak gadisnya yang mati akibat kanser.

Dia juga berjaya menonjolkan sifat protektifnya sebagai seorang bapa penyayang.

Begitu juga energi yang ditunjukkan seorang lagi pelakon utamanya, Isabela Merced. Dia merupakan antara sebab lain yang membuatkan filem ini tidak terlalu longlai. Kalau terus diberikan peluang dan ruang lebih besar dalam karya lain, Isabela akan lebih menonjol.

Keseluruhannya, Sweet Girl cuma sebuah karya aksi yang berlalu seperti angin. Penglibatan Jason dalam filem tersebut, secara peribadi buat penulis umpama ‘malapetaka’ yang tidak wajar bernadi dalam ‘resume’ kerjaya lakonannya.

Sesuatu tentang Jason, sebuah filem berjudul Dune berkemungkinan besar akan menjadi pencabar utama pada acara berprestij, Academy Awards musim hadapan. Itu memang filem wajib tonton!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI