PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal menganjurkan Program Bacaan Yasin yang akan disiarkan secara langsung di Laman Facebook Rasmi KPT.
KPT melalui satu kenyataan semalam berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan usaha memupuk semangat patriotik dan menyemai perasaan cintakan negara dengan menghayati isi al-Quran serta menyelami makna kemerdekaan dan pengorbanan dalam konteks yang lebih menyeluruh.
“Program ini juga dilihat akan menggalakkan penglibatan aktif warga dalam aktiviti kerohanian serta memupuk dan mengeratkan kerjasama, persefahaman serta permuafakatan antara warga KPT.
“Pelbagai program turut dianjurkan antaranya Pertandingan Aspirasi Merdeka, Kuiz Jejak Merdeka, Pameran Jejak Merdeka, Trivia Kemerdekaan dan Pameran Maya Buku Pilihan,” jelas kenyataan tersebut.
Majlis bacaan surah Yasin tersebut akan dipimpin oleh Naib Pengerusi Pengurusan Surau Ibadurrahman KPT, Ustaz Ahmad Shauqi Abu Kasim.
Majlis tersebut juga akan turut disertai Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan semua anggota pengurusan tertinggi kementerian.
Dalam pada itu, bagi peringkat universiti awam (UA), pertandingan Gubahan Lagu Patriotik, Pertandingan Video Deklamasi Puisi Patriotik dan Pertandingan Fotografi Rias Wajah Merdeka KPT 2021 turut dianjurkan.
“Program keceriaan turut diadakan dengan mengibar Jalur Gemilang di kawasan bangunan KPT Putrajaya dan menyediakan ruang pameran di ruang lobi kepada lima buah UA bagi mempamerkan hiasan kreatif bertemakan kemerdekaan dan Malaysia Prihatin dengan menggunakan bahan-bahan terbuang dan terpakai.
“Pihak KPT menyeru agar masyarakat dapat bersama-sama mengikuti program tersebut untuk menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara di samping memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” ujarnya.