fbpx

Jepun tangguh pemberian 1.63 juta dos vaksin Moderna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan Jepun menandatangani kontrak dengan Moderna untuk menerima 50 juta dos vaksin Covid-19 menjelang hujung September ini. - AFP

TOKYO – Kementerian Kesihatan Jepun mengesahkan penemuan bahan asing dalam sejumlah dos vaksin Covid-19 Moderna yang masih belum digunakan di negara itu, lapor agensi berita Kyodo News semalam.

Penemuan itu mendorong pihak berkuasa untuk menangguhkan penggunaan kira-kira 1.63 juta dos vaksin Moderna dalam kumpulan pengeluaran yang sama sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut syarikat Takeda Pharmaceutical Co. (Takeda) yang bertanggungjawab terhadap jualan dan pengedaran vaksin Moderna di Jepun, bahan asing didapati  terkandung di dalam 39 bebuli vaksin dan mempunyai saiz halus hanya beberapa milimeter, namun  bahan tersebut masih belum dikenal pasti.

Tambahnya, syarikat pengeluar vaksin tersebut, Moderna Inc. kini sedang menjalankan siasatan mengenai bahan asing itu.

Penemuan benda asing  tersebut telah disahkan sejak 16 Ogos lepas di lapan buah pusat vaksinasi di wilayah Ibaraki, Saitama, Tokyo, Gifu dan Aichi. 

Menurut laporan, sebanyak 1.63 juta dos vaksin Moderna itu telah dihasilkan dalam kumpulan  pengeluaran dan waktu yang sama di Sepanyol serta terdiri daripada lot bernombor 3004667, 3004734 dan 3004956.

Memandangkan dos-dos tersebut telah diedarkan kepada 863 pusat vaksinasi di seluruh Jepun, pihak kementerian akan mengarahkan pusat-pusat tersebut untuk tidak menggunakan vaksin-vaksin itu.

Sementara itu, Takeda telah meminta Moderna untuk menjalankan siasatan kecemasan mengenai isu tersebut selain mengarahkan institusi-institusi perubatan dan pihak-pihak berkaitan untuk tidak menggunakan mana-mana dos vaksin jenama itu yang menunjukkan petanda tidak normal.

Syarikat itu turut menambah, ia akan memastikan bahawa langkah penangguhan pemberian vaksin itu tidak akan mengganggu proses pemberian vaksin kepada penduduk Jepun.

Kerajaan Jepun sebelum ini menandatangani kontrak dengan Moderna untuk menerima 50 juta dos vaksin Covid-19 menjelang hujung September ini.

Setakat ini, lebih 10 juta dos vaksin itu telah digunakan di Jepun sejak Moderna diluluskan untuk kegunaan kecemasan pada Mei lalu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI