CYBERJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel untuk melakukan urusan pemerolehan dan pembayaran kepada vendor antarabangsa.
MCMC dalam kenyataan berkata, terdapat individu tertentu dikesan menggunakan nama pengerusi suruhanjaya itu menerusi alamat e-mel mencurigakan yang antara lain mengandungi arahan kepada Ketua Jabatan Kewangan dan Akaun MCMC itu berhubung urusan berkenaan.
“Bagaimanapun, hasil penelitian yang dijalankan mendapati, e-mel itu tidak pernah dikeluarkan oleh Pengerusi MCMC.
“Perlu ditegaskan di sini bahawa alamat e-mel rasmi bagi kakitangan MCMC berakhir dengan nama domain mcmc.gov.my dan bukannya nama domain lain,” katanya di sini hari ini.
MCMC berkata, pada masa sama, sebarang urusan rasmi suruhanjaya akan dimaklumkan secara telus dan terbuka dan bukannya melalui kandungan e-mel sedemikian.
Sehubungan itu, katanya, MCMC mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan e-mel mencurigakan menggunakan nama seseorang pemimpin organisasi kerana ia berkemungkinan besar satu taktik penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya tidak pasti mengenai kesahihan kandungan e-mel sebegini, hubungilah pihak berkuasa untuk pengesahan selanjutnya,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929