JOHOR BAHRU – Setiap rumah penduduk di Kampung Bendahara di sini, meriah dan ceria apabila dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menghangatkan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64.
Lebih menarik setiap rumah berlumba-lumba menghiasi kediaman mereka dengan menggantung bendera Malaysia dengan pelbagai bentuk sekaligus melahirkan rasa cintakan tanah air.
Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Masjid Kampung Bendahara, Mohd. Karim Wagiman, 70, berkata, tradisi menghiasi Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan bermula awal Ogos hingga 16 September merupakan acara tahunan penduduk di kampung ini.
“Tradisi menghias bendera sudah masuk tahun ke-20 bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dan bulan kemerdekaan.
“Setakat ini sudah 40 peratus rumah di Kampung Bendahara ini dihias bendera dan berharap banyak lagi rumah akan memasang bendera sekurang-kurangnya dua batang atau lebih,’’ katanya kepada pemberita di Kampung Bendahara di sini.
Menurutnya, pada tahun ini KRT kampung tersebut tetap mengadakan pertandingan menghias bendera di peringkat kampung walaupun Jabatan Penerangan tidak melakukannya pada tahun ini akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, Setiausaha KRT Kampung Bendahara, Zainal Abidin Shuib, 65, berkata, tahun ini sambutan orang ramai untuk menghias bendera di rumah masing-masing agak perlahan.
Zainal berharap pemilik rumah dapat memasang bendera seperti tahun sebelum ini yang meriah dengan Jalur Gemilang.
Seorang penduduk pula, Hassri Abdul Kadir, 55, berkata, tahun ini dia menghias Jalur Gemilang sebanyak 120 batang berbanding 220 pada tahun lalu.
“Saya mula memasang bendera sejak enam tahun lalu setiap kali menjelang 31 Ogos sehingga 16 September Hari Malaysia,’’ katanya.
Kebiasaannya menjelang 31 Ogos ini, lebih 70 peratus rumah mengibarkan bendera Jalur Gemilang sehingga Sambutan Hari Malaysia 16 September ini.