KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyediakan dua unit helikopter khas untuk membantu membawa bekalan vaksin Covid-19 ke perkampungan orang asli di Gua Musang bermula hujung bulan ini.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, dua buah helikopter tersebut dipinjam daripada unit udara JBPM di Subang bagi membantu Program Mobile Outreach Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM).
“Perkara ini sudah mendapat kelulusan daripada jabatan dan dua helikopter terbabit akan digerakkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Operasi ini dijangka melibatkan sebanyak 16 pos Orang Asli di sekitar Gua Musang. Urusan mengangkut vaksin akan turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis dan petugas kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kempen Kibar Jalur Gemilang di pekarangan Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Zainal, selain meringankan beban petugas KKM, inisiatif menggunakan helikopter membawa vaksin masuk ke kawasan pedalaman dapat mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Sebelum ini, kita menggunakan perkhidmatan tiga buah kenderaan. Kini, kita gunakan perkhidmatan helikopter kerana penghantarannya lebih cepat.
“Usaha ini diharap membantu pihak kerajaan negeri Kelantan yang kini sedang sedaya upaya memastikan rakyat mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang bulan Oktober depan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929