SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan taktik menyembunyikan dalam bungkusan ‘teh cina’ dengan rampasan sebanyak 184 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM6.624 juta.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kegiatan sindiket tersebut terbongkar selepas pemeriksaan ke atas 14 kotak yang hendak dieksport ke luar negara dikesan mengandungi 184 bungkusan teh mengandungi bahan kristal dipercayai dadah jenis syabu.
“Sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Ibu Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah membuat pemeriksaan ke atas kotak-kotak tersebut di Kompleks Kargo Udara (KLIA) pada pukul 5.40 petang, 16 Ogos lalu.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa, barang dagangan itu diisytiharkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik dan dipercayai hendak dieksport ke negara Asia Pasifik,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Jelas Abdul Latif, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 43 tahun yang cuba menyeludup dadah tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Susulan daripada tangkapan itu, pihak JKDM telah membuat serbuan di rumah berasingan di Nilai dan berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 42 dan 45 tahun yang dipercayai menjadi dalang sindiket dadah itu.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket dadah tersebut dikesan telah 11 kali menyeludup dadah ke luar negara dipercayai menggunakan modus operandi sama,” katanya yang memberitahu dadah tersebut diperoleh daripada pasaran tempatan.
Tambah beliau, kesemua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula 17 Ogos hingga 30 Ogos 2021 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929