TURIN – Hasrat Juventus untuk menjual Cristiano Ronaldo kepada Manchester City dengan yuran perpindahan serendah £21 juta (RM121.40 juta) dikatakan ditolak mentah-mentah oleh juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
City dilaporkan tidak berminat dengan tawaran ejen Ronaldo iaitu, Jorge Mendes yang juga mahu menjadikan Bernardo Silva sebagai pertukaran pemain dalam urusan perjanjian tersebut.
Dalam masa sama, The Citizens juga tidak sanggup untuk membayar gaji tinggi seperti diterima Ronaldo di Juventus yang dianggarkan berjumlah £510,000 (RM2.94 juta) seminggu ketika ini.
Bagaimanapun, bekas Presiden Juventus, Giovanni Cobolli Gigli mendesak jaguh Serie A itu agar mencari jalan menjual pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos ini.
“Saya sentiasa berkata jujur bahawa menandatangani Ronaldo adalah satu kesilapan besar. Mustahil untuk mendapatkan semula dana pelaburan sebelum ini.
“Tidak dinafikan Ronaldo seorang pemain yang hebat tetapi lebih cepat beliau pergi, lebih bagus buat dirinya dan Juventus. Saya harap Massimiliano Allegri sedar mengenai perkara ini.
“Ronaldo merosakkan serangan Juventus. Tanpanya, mereka mampu melakukan sesuatu yang lebih hebat,” kata Gigli yang pernah menjadi Presiden Juventus dari 2006 hingga 2009.
Sebagai rekod, The Old Lady menandatangani Ronaldo daripada Real Madrid menerusi yuran perpindahan tinggi bernilai £100 juta (RM578.09 juta) dengan tambahan £12 juta (RM69.37 juta) untuk terma-terma lain pada 2018. – AGENSI