LONDON – Perlumbaan Formula Satu (F1) mengumumkan satu lagi anugerah bagi memastikan saingan tersebut terus kompetitif dengan memperkenalkan anugerah pelumba paling banyak melakukan pintasan.
Anugerah khas itu yang ditaja rakan penaja F1, Crypto.com akan dihadiahkan kepada pemandu paling berani bertindak memintas sebanyak mungkin pelumba sepanjang musim 2021 ini.
Meskipun baharu diumumkan pertengahan musim 2021, namun anugerah itu bagi meraikan pelumba yang berani mengambil risiko memintas pelumba lain untuk memburu kejayaan dalam saingan F1.
Ketika ini, pelumba Aston Martin, Sebastian Vettel mendahului carta teratas paling banyak memintas pelumba lain di sepanjang 11 perlumbaan musim ini.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Crypto.com apabila memperkenalkan anugerah Overtake Award selepas kategori pecut F1 diadakan baru-baru ini.
“Anugerah seperti ini adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap keberanian pelumba dalam merangka strategi kemenangan,” kata pengarah komersial F1, Ben Pincus.
Anugerah terbaharu itu menambahkah lagi daya tarikan F1 selepas anugerah petak pertama Pirelli, pusingan terpantas DHL, pit stop terpantas dan pemandu terbaik perlumbaan diperkenalkan sebelum ini.
Bagaimanapun, anugerah tersebut mendapat kritikan sebilangan pihak yang menegaskan sesi kelayakan akan menjadi bosan kerana ia tidak memberi kelebihan kepada pemandu yang berada petak hadapan dalam merebut anugerah itu. – AGENSI