SUNGAI PETANI – Hasrat seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bercuti panjang sempena hari lahirnya yang ke-21 semalam bagaikan terlaksana apabila dia ‘pergi’ buat selama-lamanya selepas terlibat dalam kemalangan kelmarin.
Mangsa, Muhamad Zikry Zafuan meninggal dunia akibat cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah treler di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Lencong Timur di sini.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Utama di sini selepas selesai menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 di Kampung Bukit Selambau.
Rakan mangsa, Saiful Lizal Jamaludin, 41, berkata, arwah Muhamad Zikry bercadang mengambil cuti panjang selepas lebih dua bulan bertungkus-lumus menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 di daerah ini.
“Beberapa hari lepas, arwah beritahu mahu ambil cuti panjang bermula hari ini (semalam) tetapi saya anggap dia bergurau.
“Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa sehingga menerima berita tentang kemalangan yang menimpa arwah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Saiful Lizal yang juga anggota APM memberitahu, pada hari kejadian, arwah sepatutnya meneruskan tugasan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) pada pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.
Jelas lelaki itu, arwah Muhamad Zikry kemudian memaklumkan dia mahu balik ke rumah untuk mandi.
Kira-kira 15 minit kemudian, Saiful Lizal menerima panggilan daripada rakan lain yang memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan.
“Pada mulanya, saya menyangkakan kemalangan biasa, tetapi sebaik sampai di lokasi saya mendapati arwah dalam keadaan nazak sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Cerita Saiful Lizan, hubungannya dengan arwah amat rapat selepas mereka bersama-sama terlibat dalam kerja-kerja menguruskan jenazah Covid-19 dan sudah menganggap lelaki itu seperti adik kandungnya.
Arwah yang berasal dari Kampung Ternang Dalam, Tanah Merah, Kelantan menetap di daerah ini bersama bapa saudaranya sejak menyertai APM Kuala Muda, dua tahun lalu.
“Kehilangan arwah dirasai oleh semua anggota APM di sini memandangkan dia seorang yang sangat rajin, komited dalam pasukan serta suka bergurau dengan rakan-rakan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, ketika kejadian pukul 5 petang itu, si mati dalam perjalanan dari arah pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan menghala ke Kuala Ketil.
Mengikut maklumat saksi, nahas berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
“Kenderaan berat itu melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya.