PUTRAJAYA – Hampir 300,000 pengusaha logam dan barang-barang kitar semula di seluruh negara berdepan masalah gulung tikar dan hilang mata pencarian apabila masih tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 Program Pemulihan Negara (PPN).
Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan (PPSK), M Selventhiran berkata, rata-rata mereka yang terlibat terdiri daripada golongan pelbagai lapisan dengan sebahagian besar adalah kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Beliau berkata, pihaknya merayu agar kerajaan mempertimbangkan perusahaan logam dan barang-barang kitar semula diletakkan di bawah sektor perkhidmatan bagi membolehkan mereka beroperasi semula seperti subsektor yang dibenarkan lain.
“Hampir 60 peratus golongan B40 menyara hidup menerusi pekerjaan ini. Rata-rata mereka yang bekerja dalam sektor ini meliputi pengusaha, pekerja daripada pelbagai lapisan yang pastinya akan menjana pendapatan mereka seharian.
“Penutupan operasi ini menyebabkan pengusaha mengalami kerugian kira-kira RM1 bilion sejak peralihan fasa PPN dibuat pada bulan Jun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
M. Selventhiran terdahulu mewakili PPSK menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rungutan pengusaha logam dan barang barang kitar supaya dapat beroperasi semula.
Turut sama hadir memberikan sokongan dan menyerahkan memorandum itu adalah Malaysia Indian Metal Traders & Recycles Association (MIMTA).
Tambahnya, dia berharap agar kerajaan memberikan perhatian serius dan prihatin dengan nasib mereka seterusnya membenarkan perkhidmatan pengusaha logam dan barang-barang kitar semula dibenarkan beroperasi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929