KOTA KINABALU – Polis Sabah memaklumkan tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf ditahan di Pulau Timbang, Sandakan bakal didakwa sebelum dihantar pulang ke Filipina.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagaimanapun perkara terbabit sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa di negara berkenaan.
“Kita percaya semua suspek ini memiliki rakan sekutu lain namun dipercayai sudah melarikan diri. Hal ini disebabkan operasi berterusan yang dilaksanakan polis Sabah ketika ini.
“Selain itu, kita juga percaya tujuh suspek yang ditahan merupakan sebahagian kumpulan yang merancang penculikan di Sandakan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani menyatakan semua individu yang ditahan mungkin akan didakwa mengikut Akta Imigresen sebelum dihantar pulang.
Dalam pada itu, Hazani berkata, pihaknya turut percaya individu yang mati ditembak atau ditangkap di daerah Beaufort dan Pulau Timbang sebelum ini adalah dalang merancang penculikan pemilik ladang di sekitar perairan pantai timur Sabah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929