SHAH ALAM – Kerajaan negeri menerusi Selgate Corpartion Sdn. Bhd. (Selgate) bersedia memberikan suntikan ketiga sekiranya perlu kepada penerima vaksin menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, malah kesediaan pemberian vaksin itu juga kepada penerima bawah 18 tahun dalam memastikan imuniti berkelompok secara keseluruhannya.
“Namun, semua tertakluk kepada kelulusan daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Ketika ini, jumlah baki vaksin yang ada sehingga 22 Ogos lalu dalam SelVAX adalah sebanyak 882,401 dos vaksin. Pecahannya adalah sebanyak 275,120 dos bagi SelVAX Komuniti manakala 607,281 dos pula dalam SelVAX Industri,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Wong Siew Ki (PH- Balakong) yang ingin mengetahui baki di dalam SelVAX.
Siti Mariah yang merupakan ADUN Seri Serdang ketika menjawab soalan tambahan Rajiv Rishyakaran (PH- Bukit Gasing) mengenai kos yang dibelanjakan Selgate bagi pembelian vaksin memberitahu, Selgate telah membelanjakan sejumlah RM127 juta untuk pembelian 1.25juta dos bagi SelVAX.
Tambah beliau, peruntukan itu meliputi RM100 juta dari kerajaan negeri dan selebihnya RM27 juta menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Ini adalah kos untuk membeli vaksin dan jumlah ini tidak termasuk kos lain seperti penubuhan pusat pemberian vaksin (PPV), upah yang perlu dibayar kepada doktor yang melakukan suntikan vaksin Covid-19 dan lain-lain lagi,” jelasnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929