JAGUH pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dijangka tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya merangkul pingat gangsa pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Edisi di Tokyo mungkin akan menjadi Paralimpik terakhir buat atlet berusia 34 tahun itu, justeru dia pasti mahu menampilkan aksi terbaik dalam acara 100 meter (m) kategori T36 nanti.
Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jaganathan percaya dengan kemampuan dimiliki pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 itu berdasarkan persiapan yang dibuat.
Justeru, beliau meletakkan sasaran untuk Ridzuan memperbaiki catatan terbaik peribadi (PB) 11.87 saat (s) yang dilakukannya pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
“Dia berada dalam kondisi terbaik ketika ini, jadi saya fikir dia tidak berdepan sebarang masalah. Keyakinannya juga sangat baik ketika ini, jadi saya harap dia boleh perbaiki PB di Tokyo nanti.
“Sekiranya mampu baiki PB tersebut, dia berpeluang untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa. Apa sahaja boleh berlaku pada temasya seperti Paralimpik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebelum ini.
Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Dik Wan’ pastinya berdepan cabaran sukar di sana kerana perlu bersaing dengan atlet-atlet lebih muda termasuk pemegang rekod dunia dari Australia, James Turner.
“Saya selalu cakap ini adalah Paralimpik terakhir, jadi dia perlu buat yang terbaik dan jangan takut kepada lawan yang akan menyainginya,” tambah beliau.
Pada masa sama, Jaganathan turut mengharapkan aksi terbaik daripada empat lagi atlet olahraga, Latif Romly (lompat jauh), Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Wong Kar Gee (lompat jauh) dan Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (400m).