NEW YORK – Pemain tenis remaja Britain, Emma Raducanu dijangka tidak mempunyai masalah untuk menampilkan aksi terbaik pada peringkat kelayakan dalam usaha meloloskan diri ke pusingan utama kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
Sebagai rekod, Raducanu telah mencipta sensasi tersendiri pada Kejuaraan Wimbledon bulan lalu sebelum berjaya melangkah ke pentas final Kejohanan Terbuka Chicago minggu lepas tetapi tewas kepada pemain muda Denmark, Clara Tauson.
Bekas pemain profesional Britain, Annabel Croft optimis masa depan pemain ranking 150 dunia itu sangat cerah dan berpotensi untuk bersaing di pentas Grand Slam kedua berturut-turut sekiranya dapat mempamerkan rentak sebenar pada peringkat kelayakan Terbuka AS minggu ini.
“Saya rasa dia tidak mempunyai untuk mengharungi aksi pusingan kelayakan nanti selepas berjaya mempamerkan prestasi memukau pada Terbuka Chicago sebelum ini. Cuma, dia tidak bernasib baik apabila tewas di pentas final dengan pertarungan tiga set.
“Secara jujur, saya lihat corak permainan yang ditampilkan oleh Raducanu kini semakin matang, khususnya daripada aspek taktikal dan strategi di atas gelanggang. Namun, harus diakui dia masih lagi cetek pengalaman dan perlu belajar daripada semasa ke semasa.
“Apa yang penting, saya harap dia bijak mengawal tekanan kerana dia adalah bintang dalam pembikinan buat Britain dalam saingan tenis antarabangsa dan sudah tentu saya mahu dia beraksi di pusingan utama Terbuka AS nanti,” kata Croft.
Raducanu yang berusia 19 tahun sebelum ini telah berjaya mara ke pusingan 16 terbaik Kejuaraan Wimbledon dengan menewaskan beberapa pemain senior seperti Marketa Vondrousova dan Sorana Cirstea. – AGENSI