JOHOR BAHRU – Sebanyak 26 kompaun berjumlah RM129,500 dikeluarkan ke atas pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan pembukaan beberapa sektor ekonomi di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi Ops Samar di seluruh negeri Johor.
Jelasnya, tindakan itu sebagai usaha memerangi Covid-19 dengan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di bawah Akta 342.
“Melalui operasi ini, pendekatan digunakan adalah pemeriksaan secara berpakaian preman dan menyamar sebagai pelanggan bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pelanggan.
“Tujuannya adalah supaya pembukaan sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik Covid-19 dalam negara.
“Tindakan tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000 secara serta merta terhadap ketidakpatuhan SOP tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Jelas Mohd. Hanizam, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 65,036 premis meliputi sektor peruncitan, pemborongan dan pengilang termasuklah di pusat beli belah Midvalley Megamall Southkey, di sini hari ini.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929