PETALING JAYA – Cabaran ekonomi disebabkan pandemik, selain sokongan kukuh agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mencetuskan minat untuk berniaga dan menubuhkan syarikat sendiri dalam kalangan rakyat.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, SSM telah mengumumkan pelbagai inisiatif yang menyediakan manfaat buat rakyat menjalankan perniagaan.
“Antaranya Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin yang memberikan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa.
“Sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 14,330 perniagaan baharu telah didaftarkan di bawah inisiatif ini.
“Skim 1 OKU 1 Perniagaan yang ditawarkan kepada kumpulan orang kelainan upaya (OKU) yang boleh mendaftarkan perniagaan dengan SSM secara percuma.
“Setakat 31 Julai, sebanyak 1,102 perniagaan baharu didaftarkan di bawah skim ini.
“Menyediakan pendaftaran perniagaan secara percuma mencetuskan minat dalam kalangan B40 untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan, selain menanam budaya pematuhan etika dan amalan baik dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan SSM 2021 yang diadakan secara maya semalam.
Persidangan sehari bertemakan ‘Tadbir Urus Di Bawah Norma Baharu’ itu disertai oleh 2,000 delegasi terdiri daripada golongan profesional, korporat, usahawan, pengamal undang-undang dan ahli akademik termasuk delegasi dari luar negara seperti Pakistan, Republik Macedonia, Kazakhstan, Filipina dan Singapura.
Sehingga 31 Julai lalu, SSM merekodkan sejumlah 8.1 juta perniagaan, 1.4 juta syarikat dan 28,814 Syarikat Perkongsian Liabiliti Terhad.
Selain itu, Hasnol yang juga Pengerusi SSM berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan turut mencerminkan hasil positif dalam mengurangkan impak pandemik terhadap perniagaan.
Jelasnya, statistik menunjukkan sebelum pandemik pada 2019, jumlah syarikat yang ditutup adalah sebanyak 1,524 buah, tetapi pada tahun 2020, jumlahnya telah menurun kepada 1,029.
“Sehingga Julai tahun ini, jumlah syarikat yang ditutup operasinya adalah sebanyak 316,” katanya.