PETALING JAYA – Memahami minat suami melakukan rutin senaman, pelakon Memey Suhaiza membuat kejutan istimewa dengan menyediakan alat kelengkapan ala gimnasium di rumah untuk suami tercinta, Norman Hakim.
Katanya, kejutan tersebut adalah sebahagian tanda kasih sayang dan dorongan terhadap hobi pasangan hidupnya supaya lebih seronok memenuhi aktiviti kegemaran tanpa halangan.
“Bila berpasangan, kita menyokong apa yang dia suka. Perkahwinan bukan halangan untuk hentikan apa hobi atau kesukaan pasangan kan? Biar dia rasa selesa dan seronok tanpa halangan.
“Untuk papa Norman, hobi dia memang aktiviti kecergasan, dapat bersenam walaupun 30 minit sahaja pun hilanglah semua rasa penat.
Tapi, dia selalu berjam-jam pun sanggup, itu jiwa dia. Kalau saya, sehari bersenam, saya yang gigil demam.
“Kita orang terbalik, perwatakan berbeza. Namun kita menyokong antara kita. Meraikan minat masing-masing dengan cara tersendiri supaya pasangan rasa selesa dan bahagia selalu,” tulis Memey dalam Instagram.
Terdahulu, Memey berkongsi video membuat kejutan yang menunjukkan Norman sebuah ruang khas terbuka lengkap peralatan senaman di kediaman mereka.
Sebagai isteri, pelakon itu memahami minat suaminya yang cenderung kepada senaman membina otot sekali gus perlu mengikuti rutin tetap di gimnasium hampir setiap hari.
Nyata sokongan ibu kepada tiga cahaya mata itu cukup menggembirakan Norman apabila ‘membawa’ gimnasium ke rumah mereka.
Menerusi paparan video tersebut, pelakon Gerak Khas itu turut memberikan kucupan terima kasih buat isteri tercinta.
Malah Norman juga meluahkan rasa terharu apabila senarai impiannya kini menjadi kenyataan dengan ‘pemberian’ hadiah bermakna itu.
“Satu perasaan yang tidak dapat nak gambarkan dengan kata-kata. Benda ini memang dah lama dalam senarai keinginan saya. Tetapi saya sejenis selagi apa boleh pakai, selagi boleh lenjan. Tak suka bazir.
“Lepas ini kalau badan makin ketak, faham-faham sendirilah. Selepas ini kita bersenam sama-sama okey wifey!” tulisnya di Instagram.
Norman dan Memey mendirikan rumah tangga pada 24 September 2011 dengan dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Darwisz Hakim, 8, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 6, serta Mikayla, 3.
Menerusi perkahwinan terdahulu, aktor bertubuh sasa itu mempunyai tiga lagi anak yang sudah meningkat dewasa. – K! ONLINE