PUTRAJAYA – Penduduk di Ladang Cheekah, Daerah Bera, Pahang antara 12 lokaliti di tiga negeri bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas merekodkan 38 kes positif Covid-19.
Ia disebabkan Kluster Sawit Kemayan yang berasal daripada seorang pekerja bergejala dan disahkan dijangkiti wabak itu pada 12 Ogos lalu bersama keluarga dan lima lagi rakan sekerja termasuk 15 lagi individu bukan warganegara hasil saringan dilakukan ke atas sejumlah 125 pekerja ladang terletak di Mukim Triang 1 tersebut.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Orang Asli Kuala Masai etnik Seletar Stulang Laut di Pasir Gudang, Daerah Johor Bahru, Johor yang bermula esok sehingga 8 September.
“Selebihnya terletak di Sabah antaranya Kampung Landung Ayang, Kudat; Kampung Pengalat Kecil, Papar dan Rancangan Batu 22 Apas, Tawau, selain Kampung Lohan Ulu dan Kampung Libang, Ranau; Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan, Penampang serta Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi dan Ladang Melia, Telupid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata, lapan lagi lokaliti di negeri berkenaan disambung lagi sehingga 9 September melibatkan Kampung Betutai, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Kampung Serusop, Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria, Tuaran serta Kampung Bergosong dan PPR Taman Sri Apas Batu 8, Tawau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929