PELAKON popular Korea Selatan, Kim Seon-ho terpaksa belajar banyak perkara baharu antaranya menjadi barista dan meluncur demi menjayakan watak Hong Doo-shik dalam drama Hometown Cha-Cha-Cha.
Perkara tersebut didedahkan Seon-ho dalam temu bual secara virtual dari Korea Selatan yang berlangsung semalam.
“Saya harus mengatur masa untuk belajar beberapa skil baharu. Saya belajar bagaimana untuk meluncur dan juga membuat kopi yang bagus daripada barista.
“Sebab itu saya perlukan masa untuk bersedia sebelum penggambaran,” ujar Seon-ho.
Dalam pada itu, heroin gandingannya dalam drama tersebut iaitu Shin Min-a pula memberitahu, dia yang memegang watak Yoon Hye-jin, seorang doktor gigi membuat persediaan dengan melakukan kunjungan ke klinik giginya.
“Saya melawat doktor gigi saya. Ketika dia sedang memeriksa gigi, saya perhatikan ekspresi wajahnya ketika bekerja,” jelas Min-a.
Drama Hometown Cha-Cha-Cha merupakan sebuah karya bikin semula daripada filem Mr. Hong yang ditayangkan pada 2004.
Karya arahan Yu Je-won berkenaan dinanti-nantikan peminat drama Korea (K-drama) kerana gandingan pelakon yang popular seperti Seon-ho, Min-a dan Lee Sang-yi.
Drama Hometown Cha-Cha-Cha akan mula bersiaran menerusi platform penstriman Netflix pada 28 Ogos ini pukul 10 malam. – K! ONLINE