PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan fungsi menyemak dan imbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang itu sebagai menjunjung kasih titah hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.
Menurutnya, pertemuan selama lebih satu jam itu turut tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.
“Ini termasuk soal menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, membincangkan agenda membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri terdahulu bertemu Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik, Lim Guan Eng.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929