KUALA LUMPUR – Penyanyi Andi Bernadee membuat satu laporan polis berhubung pecah amanah dilakukan seorang rakan baik yang menyebabkan kerugian RM70,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Dang Wangi , hari ini.
Menurut Andi atau nama lengkapnya, Andi Azrul Andi Mapangile, 30, laporan polis dibuat terhadap individu terbabit yang dikenalinya lebih dua tahun.
Dakwa Andi, perbuatan tersebut menyebabkan dirinya hilang arah, terutama putus punca kewangan, khususnya pada waktu pandemik Covid-19.
“Laporan polis saya buat hari ini adalah disebabkan kes pecah amanah ke atas orang yang sangat saya percayai. Orang yang saya bawa masuk ke dalam industri seni. Saya memang tak sangka sebab dia sudah kacau periuk nasi saya, memalukan dan memfitnah saya.
“Sudahnya, dia pergi songlap duit saya. Setakat ini, duit yang lesap daripada saya berjumlah RM70,000. Duit saya bekerja tahun ini, saya tak merasa langsung duit itu.
“Duit hasil saya berlakon, duit projek saya dengan syarikat baju, dia kaut semualah. Tak sangka, sebab kami pernah menunaikan umrah dua kali bersama,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Memperincikan lagi tentang apa yang dilakukan individu terbabit, pelantun lagu Donde itu memaklumkan, dia telah dimanipulasikan.
“Dia memanipulasikan aplikasi WhatsApp saya dan hantar mesej kepada klien saya semua dan mereka memindahkan semua wang tersebut ke dalam akaunnya,” ujar Andi.
Tambah penyanyi kelahiran Sabah itu, dia mula mengesyaki aktiviti penyelewengan yang dilakukan individu tersebut sekitar Jun lalu.
“Saya menyedari duit ‘job’ saya tak masuk-masuk sejak awal tahun namun makin menjadi-jadi sejak Jun lalu. Dia cakap resit hilang, klien tak bayar lagi walhal klien dah bayar.
“Rupa-rupanya dia dah makan dah benda itu (duit). Dia bukan rakan kongsi, dia rakan baik saya dan kalau secara verbalnya, dia boleh dikatakan pembantu peribadi tapi kami tiada hitam putih. Jadi, dia hanya rakan baik yang menguruskan karier saya,” katanya.
Andi tiba di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar pukul 11 pagi ditemani peguam yang mewakilinya, Faizal Rahman dan pengurusnya, Nasir Deraman.
Hampir menitiskan air mata, Andi berkata, dia runsing dengan apa yang berlaku terutama ketika pandemik Covid-19 yang semua orang terjejas termasuk dirinya yang bekerja sebagai seorang anak seni.
“Kalau tanya, saya serabutlah. Sebab kita semua tengah pandemik sekarang ini. Saya ada tanggungan keluarga. Mak ayah saya, adik-beradik sekolah semua saya yang tanggung.
“Apabila dia buat semua ini, memberi kesan kepada ibu bapa sebab mereka semua mengharapkan saya. Saya dah bersemuka dengan dia tapi dia hanya main telefon depan saya. Dia buat endah tak endah sahaja. Saya tiada nak pukul atau apa dan sudah bagi masa kepada dia lebih kurang sebulan.
“Dia buat bodoh tapi bukti semua ada sebab itu saya berani hari ini untuk tampilkan diri. Individu terbabit ada dalam industri ini, itu sahaja yang saya boleh beritahu.
“Kali terakhir saya jumpa dia pada 15 Ogos lalu untuk beri amaran. Saya sedar ada sesuatu yang ‘tak betul’ sejak Jun tahun ini. Kami sudah bersemuka, saya bagi muka dan sudah cakap bagus-bagus tapi dia terus-menerus memburukkan reputasi saya,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! menerusi satu ruangan pojok menyiarkan situasi ‘kehilangan’ pelakon drama Melastik Ke Hatimu yang dilihat seolah-oleh menyepikan dari radar dunia hiburan. Andi selama ini sering mengisi laman media sosialnya dengan kandungan video lucu, kali terakhir membuat perkongsian dalam Instagram, sekitar Jun lalu. – K! ONLINE