LONDON – Penyerang sensasi West Ham, Michail Antonio mengakui, keputusan untuk menukar nombor jersi dengan memilih No. 9 membawa tuah apabila menjadi penjaring terbanyak The Hammers dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Leicester City 4-1 awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Antonio berjaya meledak dua gol untuk memastikan West Ham meneruskan momentum cemerlang sekali gus mendahului carta EPL ketika ini selepas mengharungi dua perlawanan.
Kata Antonio, kejayaan memintas kedudukan Paolo Di Canio selaku penjaring terbanyak West Ham dalam sejarah EPL dengan 49 jaringan cukup istimewa meskipun pada awalnya agak bergelut dengan tekanan sebagai pemain yang menyarung jersi keramat No. 9.
“Saya akui bukan mudah apabila anda ditugaskan sebagai penyerang utama. Sebelum ini saya sangat selesa dengan jersi No. 30, tetapi saya akui perlu segera mengambil tanggungjawab dalam usaha menjadi ayam tambatan pasukan.
“Kini, saya anggap No. 9 membawa tuah tersendiri apabila berjaya menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah pasukan ini beraksi di kancah EPL. Fokus saya seterusnya adalah untuk kekalkan momentum bagi membantu pasukan tampil konsisten musim ini,” kata pemain berusia 31 tahun itu.
Sementara itu, pengendali West Ham, David Moyes mengakui sorakan ribuan penyokong di Stadium London telah memberikan inspirasi tambahan buat anak-anak buahnya mencatat kemenangan bergaya ke atas The Foxes.
“Saya pernah membimbing pasukan lain sebelum ini menentang West Ham di stadium keramat Upton Park dan suasananya cukup luar biasa. Namun, situasinya lebih kurang sama di Stadium London kali ini dan sudah tentu ia membakar semangat pemain untuk mengutip tiga mata berharga ke atas lawan yang sukar,” katanya. – AGENSI