GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinasihatkan untuk mengelak daripada melantik Timbalan Perdana Menteri serta anggota Kabinet yang terdiri daripada golongan ‘kluster mahkamah’ atau ‘kluster katak’ sekiranya mahu kerajaan pimpinannya bertahan lama.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Kabinet baharu itu perlu dianggotai pemimpin yang bersih serta berwibawa untuk menstabilkan semula situasi politik negara yang bercelaru pada masa ini.
“Ikhlas saya nasihatkan sebagai orang lama, mereka yang perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta anggota Kabinet bukan dalam kalangan mereka yang terdiri daripada ‘kluster mahkamah’ serta ‘kluster katak melompat’ sebelum ini.
“Pemimpin sebegini perlu Ismail Sabri elakkan di dalam Kabinet beliau bagi mengelakkan risiko dijatuhkan seperti mana Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail Sabri, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu akan mengumumkan barisan Kabinetnya minggu ini.
Menurut Mohd. Yussof lagi, pelantikan anggota Kabinet juga mesti dilakukan dengan tepat, penuh berhati-hati dan tidak dilihat sebagai habuan politik semata-mata.
Beliau berkata, jumlah anggota Kabinet baharu itu juga tidak perlu terlalu besar seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini oleh Muhyiddin iaitu seramai kira-kira 70 orang Menteri dan Timbalan Menteri. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929