fbpx

Inisiatif keprihatinan Suria FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJ LIN berharap inisiatif kecil Suria FM menerusi Tabung Pendengar Suria dapat mengeratkan hubungan radio berkenaan dengan masyarakat.

MENGUKUR kejayaan dan keberkesanan kempen Suria Bersama Anda sebelum ini yang bertujuan membantu golongan terkesan akibat Covid-19, stesen radio Suria FM mengambil inisiatif melancarkan slot Tabung Pendengar Suria.

Slot khas berkenaan mula bersiaran menerusi segmen Team Pagi Suria sejak 16 Ogos lalu.

Menerusi Tabung Pendengar Suria, pendengar setia stesen radio berkenaan boleh mendaftarkan butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat e-mel dan sebab mengapa mereka memerlukan bantuan.

Caranya, pendengar hanya perlu menghantar butiran maklumat yang diperlukan menerusi WhatsApp Suria menerusi talian 017-8961 053.

Setiap pendengar yang dipilih penyampai Team Pagi Suria setiap hari akan menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100. Wang tersebut akan dikreditkan kepada akaun pendengar pada hari yang sama.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin berkata, inisiatif berkenaan dicetuskan oleh penyampai mereka sendiri sebelum dikembangkan menjadi satu pengisian dalam segmen Team Pagi Suria.

“Sepanjang pandemik Suria FM banyak menerima panggilan luahan perasaan dan perkongsian kisah hidup daripada pendengar setia kami.

“Ada yang menghubungi dengan memberitahu mereka tiada makanan, tidak dapat membeli barangan keperluan harian dan sebagainya.

“Jadi kami fikirkan apa yang boleh dilakukan bagi membantu mereka secepat mungkin pada hari mereka menghubungi kami,” katanya.

SLOT Tabung Pendengar Suria kini dikendalikan Team Suria FM sejak 16 Ogos lalu.

Idea asal kewujudan slot Tabung Pendengar Suria sebenarnya merupakan buah fikiran salah seorang penyampai Suria FM yang juga pelawak, Ajak Shiro.

Kata Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanaffi Razak, idea tersebut hadir sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia dihubungi individu yang terjejas dan meminta bantuan.

“Kalau nak saya bantu semua, memang tak mampu. Jadi saya terfikir untuk utarakan idea tersebut kepada bos iaitu DJ Lin dan Pengurus Kandungan.

“Mereka bersetuju melaksanakan tabung ini kerana berasakan inisiatif sebegini mampu merapatkan penyampai dan pendengar.

“Kadang-kadang, masalah yang diluahkan pendengar tidaklah besar mana. Contohnya pernah sekali ada seorang pendengar beritahu anak-anaknya teringin nak makan burger mahal tetapi wanita itu tak mampu sebab hanya suri rumah, jadi kita bantu,” cerita Ajak.

Meriah merdeka

Bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dan mengembalikan kemeriahan suasana perbarisan sambutan kemerdekaan, Suria FM dengan kerjasama KL Sketch Nation akan menganjurkan perarakan animasi virtual pada 31 Ogos ini pukul 9.30 malam menerusi platform digital Facebook dan YouTube.

Istimewanya, Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation menampilkan pembabitan kontinjen-kontinjen wakil Malaysia yang unik dan menarik.

Malah kesemua ahli kontinjen merupakan karakter-karakter animasi digital yang dilukis sendiri oleh rakyat Malaysia menerusi peraduan yang berlangsung dari 29 Julai hingga 20 Ogos lalu.

Peserta yang menyertai perarakan Merdeka Suria x KLSketchNation menghantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut templat dan sembilan jenis kategori yang disediakan dalam laman web Suria. 

Karakter-karakter animasi yang dihantar akan menjadi sebahagian daripada barisan kontinjen mengikut kategori masing-masing iaitu Olimpik, Patriotik, Super Heroes, Flora, Fauna, Hantu Malaysia, Selera Malaysia, Kebudayaan, dan Teknologi. 

Kontinjen Suria FM yang terdiri daripada karakter penyampai-penyampai Suria juga tidak ketinggalan menjadi salah satu kontinjen dalam perarakan berkenaan. 

Peraduan tersebut membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang berbakat untuk merebut sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM4,000 dan hadiah eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation. 

Animasi tiga pemenang utama dan 10 pemenang sagu hati terpilih akan diumumkan dan menjadi kontinjen terakhir dalam perarakan.

Sementara bagi pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, diikuti tempat kedua dengan hadiah sebanyak RM1,500 dan tempat ketiga, RM500.

Bagi 10 pemenang sagu hati, mereka akan menerima hadiah berupa barangan eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation bernilai RM100 setiap satu.

Perarakan berkenaan berlangsung pada 31 Ogos ini menerusi semua platform digital Suria dan KL Sketch Nation. Maklumat lanjut, layari laman web www.suria.my atau media sosial Suria Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI