Oleh NABIL AIMAN NOR AZWAN
PETALING JAYA – Seorang remaja tidak menyangka bisnes ikan laga yang diusahakannya berjaya menarik minat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membeli ikan peliharaan itu.
Kisah itu kemudian tular di media sosial selepas Tun Mahathir berkongsi gambar dan nota mengenai ikan laga yang dibelinya.
Remaja terbabit, Cheng Jia Yung, 17, berkata, dia pada mulanya menyangka dan menganggap ia sekadar gurauan, sehinggalah diberikan alamat di Langkawi oleh seorang pegawai kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Pada mulanya ingatkan ia gurauan, pegawai itu beritahu Tun M nak beli ikan, saya macam tidak percaya.
“Tetapi selepas dia hantar gambar Tun M saya dah tak tau nak kata apa. Memang gembira, sangat teruja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Jia Yung, dia tidak tahu kisahnya menjadi tular sehingga menerima banyak tempahan daripada orang ramai yang ingin membeli ikan laga yang diusahakan bersama abang.
“Semalam dan hari ini, saya banyak terima tempahan ikan laga sehingga tidak sempat membalas mesej pelanggan di WhatsApp.
“Harga jualan ikan laga RM10 hingga 15 dan sangat murah dalam pasaran,” katanya.
Sehingga kini, ciapan tersebut meraih lebih 5,410 ulang kicau dan 16 ribu tanda suka di Twitter. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929