PONTIAN – Bermula dengan aktiviti mengumpul duit syiling lama pada usia 16 tahun, seorang bekas guru meneruskan minatnya dengan mengumpul pelbagai barangan lama atau antik yang berusia lebih 50 tahun.
Jamal Ahmad, 56, berkata, bermula pada usia tersebut dia mula berminat dengan pelbagai barangan termasuk bahan-bahan yang berkaitan dengan Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Katanya, kini terdapat kira-kira 100 jenis barangan yang berkaitan dengan sambutan Hari Kemerdekaan seperti gelas, cawan, pinggan, majalah lama, sampul surat hari pertama dan sebagainya.
Menurut bekas Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat ini, dia ada menyimpan warkah Pemasyhuran atau Proklamasi Hari Kemerdekaan salinan pertama yang dibeli pada harga RM2,000.
“Bahan ini saya beli daripada pengumpul bahan-bahan lama di Kuala Lumpur lima tahun lalu yang ditulis dengan tulisan jawi sempena Kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu.
“Warkah Pemasyhuran atau Proklamasi Kemerdekaan turut diedarkan kepada penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung sebagai pemberitahuan kepada anak-anak buah mereka di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serkat, di sini baru-baru ini.
Tambah Jamal, terdapat surat khabar Malaya Merdeka yang diterbitkan pada hari tersebut selain piring yang mempaparkan gambar Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta piring yang dibuat di Singapura
“Selain tulisan jawi, terdapat juga tulisan Inggeris, Tamil, Melayu pada Warkah Pemasyhuran atau Proklamasi Kemerdekaan dengan salinan asal dikatakan bernilai RM55,000,” ujarnya.
Katanya, bagi mengumpul semua bahan-bahan lama selain barangan berunsurkan kemerdekaan, dia telah mewujudkan Galeri Antik Astana Wajo bagi memberikan ruang kepada orang ramai untuk melihat barang-barang yang disimpan.
“Terdapat 400 hingga 500 pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, perhiasan, pakaian, model motosikal, kereta permainan yang dibuat daripada besi, bekas tin dan kotak menyimpan rokok,” jelasnya.
Ujarnya, Galeri Antik Astana Wajo terbuka untuk dikunjungi oleh orang ramai.