PETALING JAYA – “Jujur saya rasa lemah dan seakan-akan hilang arah, tidak tahu sampai bila mampu bertahan.”
Demikian luahan penyanyi dan pelakon Elyana atau nama penuhnya, Erneelya Elyana Emrizal, 34, ketika ditanya berhubung keadaan kesihatannya yang menghidap kanser limfoma sejak 10 tahun lalu.
Menurut Elyana, sebelum ini dia masih mampu bertahan walaupun telah menanggung kesakitan sekian lama, namun sejak kebelakangan ini dia berasakan seolah-olah tiada kekuatan untuk melawan penyakitnya.
“Boleh dikatakan seluruh badan saya seperti disiat-siat dan ditoreh-toreh. Dari bahagian pinggul, dada, belakang badan dan kaki semuanya sakit. Sakit yang tidak tahu bagaimana untuk saya ungkapkan.
“Mungkin sebab kesan daripada radioterapi yang saya jalani sebelum ini dan vaksin kedua Covid-19 yang saya ambil minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah pelantun lagu Kalis Rindu itu, dia sepatutnya menjalani rawatan kemoterapi selepas selesai jalani 15 sesi radioterapi, namun meminta untuk ditangguhkan ke bulan depan.
“Jumaat ini ulang tahun kelahiran anak sulung, manakala 1 September depan pula hari ulang tahun ibu tercinta saya.
“Biarlah saya raikan mereka dahulu. Lepas itu baru fikir fasa kemoterapi. Kalau ada pilihan memang saya tidak mahu jalani kemoterapi, tetapi saya tiada pilihan. Hendak atau tak, tetap kena buat juga,” ujarnya.
Semalam, Elyana menerusi beberapa kemas kini dalam InstaStorynya meluahkan isi hati berkenaan penyakit yang dihidapinya.
“Sakit yang tak pernah surut. Terbaring dalam bilik sambil dengar suara anak. Kau nak, tapi tidak ada daya.
“Semoga aku diberi peluang untuk merasa sihat. Masih adakah peluang? Menahan sakit itu penat, lalu harus ku paksakan diri untuk kuat demi mereka,” luahnya.
Sebelum itu, pada Disember tahun lalu, pelakon drama Dunia Baru itu memaklumkan kanser yang dihidapinya memasuki tahap lima dan telah menyerang serta merebak ke beberapa organ badannya termasuk rahim, hati dan pangkal paha.
Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017.