SHAH ALAM – Prosiding perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd. Yazid Mustafa membenarkan penangguhan tersebut selepas meneliti permohonan daripada pihak pembelaan.
“Bagaimanapun, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini pada 1 dan 2 September depan dikekalkan.
“Difahamkan tertuduh akan menjalani pembedahan tetapi berapa lama tempoh pemulihan tertakluk kepada kesihatan dan keperluan yang akan disahkan oleh doktor,” jelasnya.
Sementara itu, Peguam Hamidi Mohd. Nor mewakili tertuduh yang ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan kesakitan yang dialami bukan disengajakan atau dibuat-dibuat bagi mengelakkan dirinya yang ketika ini berdepan pertuduhan rasuah.
Katanya, anak guamnya sebelum ini menerima rawatan di Jerman namun tidak dapat meneruskannya selepas permohonan untuk mendapatkan pasportnya sebelum ini dibantah selepas diserahkan kepada mahkamah sebelum ini.
“Slip disk ini bukan baru-baru dan dibuat-dibuat tetapi sudah lama. Sakit itu kembali selepas mengalami kecederaan (akibat terjatuh) sehingga keadaan (Ahmad Zahid) tidak boleh berjalan dan kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta sejak Ahad lalu.
“Semalam di Kuala Lumpur kita sudah bersedia, begitu juga di sini. Kalau mahkamah kata jalan kita jalan, cuma dari segi undang-undang kehadiran tertuduh itu perlu kalau dia bukan orang yang melarikan diri,” katanya.
Ketika ditanya bila akan Ahmad Zahid kembali sembuh, Hamidi menegaskan perkara itu akan diketahui pukul 3.30 petang ini selepas doktor yang merawatnya memberikan keterangan di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta (RM42.28 juta) sebagai dorongan mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada UKSB. -K!ONLINE