fbpx

Wanita dilarang lawat cimpanzi kerana hubungan terlalu rapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timmermans menjalin hubungan baik dengan Chita selepas empat tahun sering melawat haiwan itu. – VTM NIEUWS

ANTWERP, BELGIUM – Seorang wanita di Belgium dilarang daripada berjumpa dengan seekor cimpanzi jantan di sebuah zoo disebabkan hubungan rapatnya dengan haiwan tersebut selepas melawat zoo itu selama empat tahun, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Adie Timmermans menerima amaran itu dari Zoo Antwerp selepas mempunyai hubungan rapat dengan seekor cimpanzi jantan berusia 38 tahun bernama Chita.

Menurut penjaga cimpanzi tersebut, keadaan itu telah menyebabkan masalah sosial kepada Chita dalam kalangan kawanannya.

Ini kerana disebabkan ia terlalu rapat dengan Timmermans, ia disisihkan daripada cimpanzi-cimpanzi lain dan tidak dianggap sebahagian daripada kawanan tersebut.

Justeru, bagi menambah baik hubungan Chita dengan spesiesnya, pihak zoo telah mengeluarkan amaran yang melarang Timmermans daripada menghampirinya dan memintanya untuk tidak memandang haiwan tersebut.

“Sudah tentu kami berasa gembira apabila ada pengunjung yang berasa dekat dengan haiwan-haiwan di sini, namun kebajikan haiwan adalah lebih penting.

“Kami ingin menggembirakan Chita. Apabila ia sering sibuk melayan pengunjung, monyet-monyet lain menyisihkannya dan tidak menganggapnya sebagai sebahagian daripada kumpulan itu.

“Ini menyebabkan ia terpaksa duduk sendirian ketika di luar waktu melawat,” kata seorang kuratori Zoo Antwerp, Sarah Lafaut.

Sementara itu, Timmermans menyifatkan larangan itu sebagai sesuatu yang tidak adil serta mendakwa bahawa dia menyayangi Chita selain larangan itu hanya dikenakan ke atasnya, dan bukan pengunjung lain.

“Saya menyayangi Chita dan ia menyayangi saya. Mengapa mereka ingin melarang hubungan kami? Pengunjung-pengunjung lain dibenarkan bertentangan mata dengannya, kenapa saya tidak boleh?

“Selama empat tahun Chita sering datang kepada saya apabila ia melihat saya. Ia melambai dan mengucup saya melalui tingkap. Apa kesalahan yang saya lakukan?” soalnya.

Timmermans turut mengakui dia menerima empat amaran mengenai hubungannya dengan Chita, namun sekiranya dia tidak menghiraukan arahan itu, dia berkemungkinan dilarang untuk memasuki zoo tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI