fbpx

Usaha sama Northport, Shin Yang sokong misi bantuan MRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (kiri) bersama Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman mengibar bendera Malaysia pada majlis penghantaran sumbangan ke Sabah dan Sarawak di Northport baru-baru ini.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC dan Shin Yang Shipping Corporation Berhad (Shin Yang), ahli Kumpulan Shin Yang bersama-sama menyokong misi bantuan Malaysian Relief Agency (MRA) untuk membantu petugas kesihatan barisan hadapan serta komuniti yang terjejas akibat Covid-19 di Sabah dan Sarawak.

Lebih daripada 10 tan bekalan bernilai RM1.24 juta termasuk peralatan perubatan dan pek makanan telah berjaya dikumpulkan oleh MRA untuk misi tersebut.

Antara bekalan barangan yang disumbangkan oleh penderma-MRA adalah katil unit rawatan rapi dan tilam, sistem ECG, ventilator, infusion pump, pam picagari, laryngoscope, pelitup muka, peralatan pelindung peribadi serta 500 pek barangan makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, barangan bantuan tersebut telah dimuatkan ke dalam tiga buah kontena untuk dihantar ke Kuching dan Sibu, Sarawak serta Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah dengan menggunakan perkhidmatan perkapalan Shin Yang di Northport.

“Kerjasama ini adalah platform dan peluang untuk Northport bersama rakan-rakan perniagaan kami membantu mereka yang memerlukan di dalam krisis ini.

“Kami berbesar hati dapat menawarkan kepakaran dan kemudahan untuk membantu MRA menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam kenya­taan.

Melalui program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, Northport telah memberikan sokongan melalui pengendalian barangan di gudang MRA di Petaling Jaya, penyedia­an perkhidmatan pelabuhan serta penyimpanan di terminal Northport.

Sementara itu, Shin Yang, salah sebuah syarikat perkapalan utama yang menyediakan perkhidmatan perkapalan antara Pelabuhan Klang dan pelabuhan- pelabuhan di Malaysia Timur turut menyokong misi ini dengan menyediakan tiga buah kontena serta slot khas untuk kontena tersebut di dalam kapal milik mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shin Yang, Kapten Ting Hien Liong menerangkan, pihaknya sangat gembira menjadi sebahagian daripada misi bantuan ini dan dapat melakukan lebih daripada aktiviti harian operasi perniagaan sedia ada.

“Kami telah lama menghubungkan perdagangan antara Malaysia Barat dan Timur dan kami bersyukur kerana dapat menawarkan perkhidmatan kami bagi misi bantuan ini,” ujarnya.

Pada tahun lalu, Northport te­lah turut serta di dalam program kerjasama CSR yang serupa, me_lalui sokongan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Wuhan, China bersama Sinotrans Logistics (M) Sdn Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI