PETALING JAYA – “Allah pinjamkan umi untuk saya selama lima bulan sahaja. Tiada kekesalan, hanya kenangan yang manis-manis. Rezeki saya dapat ibu mertua yang terlalu baik, kelakar, disenangi, penuh dengan pesanan dan nasihat”.
Demikian luahan hati penyanyi Ernie Zakri selepas ibu mertuanya, Wan Faaizah Karim, 55, meninggal dunia sekitar pukul 10 malam, kelmarin.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, isteri kepada penyanyi, Syamel itu berkata, walaupun cuma diberi kesempatan waktu yang cukup singkat bergelar menantu kepada wanita itu, Ernie tetap bersyukur kerana telah belajar banyak perkara bersama arwah ibu mertuanya.
“Saya tidak tahu sama ada saya telah menjadi menantu yang baik kepada umi dan ayah, tapi apa yang pasti, umi telah menjadi ibu dan ayah mertua yang baik kepada saya,” luah Ernie.
Kata pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, itu lagi, dia bersama seluruh ahli keluarga lain reda dengan pemergian wanita itu, namun tidak dapat menyembunyikan rasa rindu terutama sekali saat terkenangkan telatah ibu mertuanya.
Dalam pada itu, pelantu lagu Ku Bersuara itu turut berharap dan berdoa agar Allah melapangkan kubur ibu mertuanya ibarat seluas mata memandang.
“Terima kasih umi. Saya sayang umi sangat. Hanya Allah SWT yang tahu. Terima kasih untuk semua kenangan indah. Terima kasih juga untuk mereka yang mendoakan umi.
“Semoga yang baik-baik Allah balas kepada anda semua,” tulisnya.
Terdahulu, ibu kepada Syamel atau nama lengkapnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 28, dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen dalam badan di salah sebuah pusat perubatan swasta selepas sebulan dimasukkan dan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU). – K! ONLINE