MELAKA – Suasana di sekitar kawasan Pantai Klebang di sini bertukar riuh susulan kemunculan siput sedut dan siput remis dalam jumlah yang luar biasa di kawasan pesisir pantai itu hari ini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, lebih 30 penduduk kampung mula membanjiri kawasan itu pada pukul 4 petang tadi untuk mencari siput remis yang dikumpulkan di dalam bekas dibawa masing-masing.
Seorang penduduk Kampung Pinang, Tanjung Kling, Jamilah Amat, 53, memberitahu, kedatangannya di pantai itu adalah bagi mengutip siput sedut, bagaimanapun berubah tujuan selepas mendapati saiznya masih kecil.
“Saya datang kira-kira pukul 3 petang selepas tular di Facebook siput sedut ‘naik’ di Pantai Klebang, namun apabila sampai saiznya masih kecil dan tidak boleh dimakan.
“Saya dan beberapa penduduk kampung yang lain bagaimanapun terjumpa siput remis di dalam pasir dan kami mula ‘meraba’ mencari seberapa banyak yang mungkin untuk dijadikan juadah di rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Norhaslinda Mohamat, 36, dan abangnya, Rahmat, 47, dari Tangga Batu berjaya mengumpul sekitar tiga kilogram dan memberitahu, siput remis itu sedap dimasak tumis sos, tumis serai dan sambal.
“Siput remis ini saiznya besar sedikit berbanding musim sebelum ini, mungkin juga kerana pandemik tiada siapa yang keluar mencari, jadi ia dapat membesar.
“Walaupun tidak dapat membawa balik siput sedut, namun ada rezeki lain, siput remis juga sedap untuk dijadikan menu terutama masak sos atau tumis biasa,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929