BACHOK – Seorang pesakit mental mengamuk sebelum bertindak mengelar bapa sendiri selepas berang mendengar tangisan anak saudaranya di rumah mereka di Jalan Depan Pasar Bachok di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi itu menyebabkan mangsa, Azmail Mohd. Salmon, 66, cedera pada bahagian leher, kepala, telinga, tapak tangan dan lengan selepas anak lelakinya yang berusia 28 tahun mengelarnya dengan pisau pemotong sayur.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati, sebelum kejadian, suspek dipercayai telah memarahi anak saudaranya berusia empat tahun yang dipercayai sedang menangis.
Menurutnya, insiden itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara suspek dengan seorang lagi anak saudara perempuan berusia 16 tahun dan ayahnya.
“Selepas itu, mangsa dipercayai telah memukul ayahnya itu dengan tangan sebelum dia pergi ke dapur untuk mengambil sebilah pisau dan menikam beberapa bahagian anggota badan mangsa.
“Terkejut dengan keadaan itu, anak saudara perempuannya telah melarikan diri ke tingkat atas rumah untuk meminta pertolongan daripada pembantu rumah mereka agar menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohamad Ismail, suspek yang tidak bekerja kini sudah ditahan polis untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, keadaan mangsa kini stabil dan sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929