fbpx

Perjuangan Malaysia di Paralimpik Tokyo bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN atlet para negara bersiap sedia untuk menyertai acara pembukaan temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Stadium Olimpik, Tokyo sebentar tadi. - MAJLIS PARALIMPIK NEGARA

KUALA LUMPUR – Tiga pingat emas menjadi sasaran 22 atlet luar biasa negara pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo, Jepun yang membuka tirainya secara rasmi di Stadium Olimpik sebentar tadi.

Jaguh powerlifting negara yang juga pemegang rekod dunia, Bonnie Bunyau Gustin dengan atlet olahraga para, Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin mengetuai kontinjen Malaysia sebagai pembawa bersama Jalur gemilang pada majlis perasmian itu.

Mereka berdua diringi atlet-atlet negara berarak memasuki Stadium Olimpik pada giliran ke-140 daripada 162 negara bertanding dengan keseluruhan 4,508 peserta yang mengambil bahagian pada temasya paralimpik berprestij dunia kali ini.

TOKYO bermandikan cahaya apabila pertunjukan bunga api mewarnai acara pembukaan temasya Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi. – AFP

Chef de Mission Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menjelaskan, semua atlet berada dalam keadaan baik dan bersemangat tinggi untuk memulakan acara masing-masing selepas ini.

“Alhamdulillah kami di sini sihat dan menjaga SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan. Semua atlet juga fokus dan saya percaya mereka akan melakukan yang terbaik nanti,” katanya.

PERTUNJUKAN kebudayaan Jepun turut menjadi sebahagian daripada tarikan pada acara pembukaan temasya Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi. – AFP

Lima atlet menjadi sandaran untuk membawa pulang tiga pingat emas iaitu Mohammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly (olahraga); S. Suresh (memanah); Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Cheah Leik Hou (badminton).

Sasaran ditetapkan itu bagi mengulangi pencapaian lima tahun lalu pada edisi Rio 2016 yang menyaksikan Ziyad, Latif dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya meraih pingat emas, manakala satu gangsa dimenangi Siti Noor Radiah Ismail.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan negara ke-36 terbaik dunia menerusi kejayaan tiga emas, dua perak dan enam gangsa sejak mula menyertai Sukan Paralimpik pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman.

Esok, dua atlet para negara akan memulakan cabaran iaitu perenang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (200 meter gaya bebas S5) di Pusat Akuatik Tokyo dan Chee Chao Ming (ping pong individu TT9) di Gimnasium Metropolitan Tokyo. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI