TALLAHASSEE, Florida – 10 pekerja sebuah restoran di Florida, Amerika Syarikat (AS) mendapat durian runtuh apabila diberi duit tip sebanyak AS$10,000 (RM42,165) oleh seorang pelanggan mereka, ,lapor laman United Press International (UPI) semalam.
Perkara itu dimuat naik menerusi akaun Instagram Restoran Wahoo Seafood Grill yang menunjukkan sehelai resit memaparkan jumlah tip diberikan seorang pelanggan kepada 10 kakitangan yang datang bekerja pada hari tersebut.
“Seorang pelanggan membuat keputusan untuk memberikan 10 pekerja di restoran ini wang tip sebanyak AS$1,000 setiap seorang sebagai tanda penghargaan keberanian kami datang bekerja di musim pandemik.
“Saya bukan seorang yang mudah terharu tetapi ini adalah satu perbuatan yang sangat mengagumkan,” tulis pemilik restoran, Shawn Shepherd.
Tambah Shepherd, kehadiran pelanggan seperti itu menjadikan semangatnya untuk mempertahankan perniagaan di musim pandemik semakin tinggi dan yakin. – Agensi