GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan melarang penjualan daging tiruan di negara ini yang didakwa bukan hanya kekurangan khasiat tetapi juga mengandungi ramuan berbahaya.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, produk daging tiruan yang menggunakan ramuan kejuruteraan genetik itu didapati telah diedarkan kepada beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura.
Menurut beliau, daging tiruan yang dijual dalam bentuk ‘patty’ atau dalam bungkusan yang sama seperti daging sebenar itu dilihat sebagai pengganti kepada gaya hidup tanpa daging.
Beliau berkata, daging tiruan merupakan makanan proses yang mengandungi jumlah natrium dan bahan kimia yang amat tinggi.
“Menurut kajian produk daging tiruan sering mengandungi 20 hingga 35 peratus lebih kandungan natrium maksimum yang disarankan (RDI) iaitu lima gram garam atau 2,000 miligram (mg) natrium.
“Terdapat juga daging tiruan yang mengandungi 1,100mg natrium yang merupakan lebih daripada separuh RDI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohideen menambah, ramuan yang paling membimbangkan ialah soya leghemoglobin iaitu bahan penambah pewarna yang menjadikan produk kelihatan ‘berdarah’ seperti daging sebenar.
Jelasnya, leghemoglobin soya tidak mempunyai sejarah penggunaan selamat dalam makanan dan dalam keadaan semula jadinya ia didapati di dalam akar kacang soya dan tidak pernah dimakan oleh manusia.
“Amalan mengurangkan memakan daging amat wajar tetapi menukarkannya kepada alternatif berasaskan tumbuhan adalah tidak sihat seperti yang fikirkan.
“Daging tiruan mungkin kelihatan seperti impian menjadi kenyataan bagi pemakan daging tetapi ia hanya khayalan kerana daging tiruan adalah produk yang diproses yang tidak setanding khasiatnya berbanding daging sebenar,” katanya lagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929