ROM, Itali – Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti mengakui pelumbanya mempunyai peluang besar untuk bersaing merebut gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini meskipun Fabio Quartararo sedang memimpin perlumbaan.
Pelumba Monster Energy Yamaha, Quartararo dilihat konsisten meraih mata dan berjaya meraih empat kemenangan daripada 11 pusingan perlumbaan sekali gus berada tangga teratas dengan 181 mata.
Bagaimanapun, Quartararo perlu berhati-hati memandangkan tiga pelumba Ducati iaitu Francesco Bagnaia, Johann Zarco dan Jack Miller masing-masing berada dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.
Ketika ini, Bagnaia antara pelumba yang dilihat mampu mencabar atau mengejar kedudukan itu apabila hanya dipisahkan 47 mata dengan Quartararo.
“Kami telah melakukan yang terbaik pada musim ini, malah pelumba-pelumba kami telah menunjukan prestasi cukup
cemerlang untuk berada di podium.
“Kami mempunyai keyakinan tinggi kepada Pecco (Bagnaia). Jack Miller, Johann Zarco begitu juga dengan Jorge Martin. Saya berharap kami mampu menguasai sepanjang perlumbaan ini dan menamatkan saingan podium sebanyak mungkin di depan Quartararo,” kata Ciabatti.
Dalam pada itu, Ciabatti turut mengakui Quartararo sangat konsisten mengendalikan jentera Yamaha YZR-M1 terutama di Litar Red Bull Ring.
“Tahun ini sahaja Quartararo berjaya memulakan perlumbaan di baris hadapan sebanyak 10 dalam 11 pusingan perlumbaan. Saya akui dia konsisten dan laju terutama di Red Bull Ring. Ini satu cabaran besar buat kami.
“Bagi saya keputusan itu bukan sekadar nasib tetapi dia (Quartararo) bekerja keras ke arah tersebut. Sudah pasti ia bukan tugas yang mudah untuk menyekat Yamaha pada perlumbaan seterusnya,” tegas Ciabatti. – AGENSI