TALLAHASSEE, Florida – Sekumpulan doktor perubatan di Hospital Internal Medicine, Palm Beach membuat protes beramai-ramai berikutan lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan pesakit yang tidak divaksinasi, lapor stesen penyiaran NBC 8, kelmarin.
Kumpulan doktor itu berhimpun di pekarangan hospital sebelum matahari terbit dengan harapan untuk memberi kesedaran kepada penduduk di negeri Florida supaya segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Kami kepenatan. Kesabaran dan keperluan perubatan kami semakin berkurangan. Doktor-doktor memerlukan bantuan anda, sila dapatkan suntikan vaksin sekarang.
“Saya masih tidak memahami keengganan sesetengah pihak untuk menerima vaksin,” kata salah seorang doktor tersebut, Rupesh Dharia.
Pakar perubatan penyakit berjangkit, Dr. Leslie Diaz menekankan bahawa vaksinasi adalah jalan terbaik untuk mengubah situasi kritikal sekarang.
“Vaksin kekal menjadi cara paling berkesan dan realistik untuk menghentikan kegilaan lonjakan kes di Florida sekarang,” tegas Diaz.
Di Amerika Syarikat (AS), Florida merupakan antara negeri paling teruk dilanda varian Delta dalam gelombang baharu Covid-19 dengan catatan 42,143 kes positif setakat kelmarin. – Agensi