PENGALAMAN ditipu rakan dalam industri ketika awal pembabitannya berkecimpung sebagai anak seni empat tahun lalu menjadi pengalaman yang amat bermakna buat pendatang baharu, Ahmad Adly.
Biarpun perit, Ahmad Adly atau mesra disapa Adly menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang berharga, sekali gus menjadi garis sempadan supaya mengingatkan diri sendiri untuk lebih berhati-hati dengan permainan duniawi.
Katanya, ditipu dari segi kepercayaan dan wang membuatkannya kini lebih mudah menghidu pelbagai ragam manusia terutama mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan.
“Awal kemunculan dulu memang saya pernah ditipu, dijanjikan bulan bintang dan ada juga cubaan tikam belakang. Walaupun dari segi wang, mungkin tidak sebesar mana pada orang lain, tetapi kepercayaan saya kepadanya sudah terhakis.
“Dia merupakan individu dalam industri, malah kami pernah beberapa kali bertembung. Tetapi sekadar menyapa kerana untuk berbaik semula macam dulu mungkin tidak.
“Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kejadian lalu membuatkan saya semakin berhati-hati, kuat semangat selain mematangkan diri untuk lebih bijak menilai,” katanya.
Pemilik nama sebenar Ahmad Adly Sofwan, 21, itu mula menceburi dunia nyanyian menerusi debut single berjudul Sahabat yang mendapat sentuhan Haqiem Rusli bagi penulisan lirik.
Paling terkini, anak muda tinggi lampai itu muncul mempertaruhkan sebuah karya baharu yang berilhamkan situasi pandemik semasa, Nota Hatiku.
Memilih Yonnyboii dan Dewangga sebagai penerbit, nukilan buah tangan bersama Nuriman tersebut seakan mewakili emosi masyarakat saat berdepan dengan pandemik Covid-19.
Walaupun melalui tempoh sukar, Adly menggunakan kemudahan yang tersedia di depan mata seperti media sosial sebagai platform promosi untuk memperkenalkan Nota Hatiku selain mengukuhkan namanya.
Begitupun, ditanya sama ada isu gambar tanpa berbaju di kolam renang yang menjadi kecaman netizen baru-baru ini adalah salah satu strategi ‘memancing’ perhatian khalayak, akui Adly perkara tersebut tidak disengajakan, malah dia sudah meminta maaf atas kekhilafannya.
“Sebenarnya saya ke rumah kawan untuk ambil gambar produk baharu sebelum diminta bergambar di kolam renang kerana suasana di situ cantik. Jadi saya terus kongsi dalam media sosial. Tak sangka gambar tersebut mencetuskan rasa tidak selesa.
“Apa pun, saya akan lebih berhati-hati selepas ini apatah lagi media sosial adalah landasan interaksi saya dengan pengikut. Saya memahami sensitiviti ramai,” tambahnya.