SHAH ALAM – Kegagalan integrasi aplikasi SELangkah dan Mysejahtera dikatakan menjadi salah satu penyebab peningkatan kes Covid-19 di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, ini seterusnya menyukarkan usaha menjejak kontak rapat kerana tiada data berkaitan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sejak Ogos tahun lalu.
“Pada mulanya, kita dapat menjejak kontak rapat melalui data yang diberikan KKM, lantas penularan kes Covid-19 di negeri dapat dibendung sewajarnya.
“Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu kita tidak dapat melakukan peta risiko disebabkan ketiadaan data daripada KKM sehingga wujudnya kluster kilang, komuniti dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi hari ini.
Ahmad Yunus ingin mengetahui punca kegagalan kerajaan negeri dalam menangani kes Covid-19 di Selangor.
Siti Mariah mendedahkan beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa anggota Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) telah menemui mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membincangkan perihal integrasi di antara dua aplikasi pada Mac tahun ini.
Jelasnya, pihaknya juga sanggup menerima apa-apa syarat yang dikenakan pihak KKM bagi memastikan penyatuan di antara SELangkah dan MySejahtera dapat dilakukan sewajarnya.
“Namun, pihak kementerian tidak bersetuju atas sebab-sebab tertentu dan kita telah lakukan yang terbaik untuk penyatuan aplikasi ini termasuk berperang di surat khabar,” tegasnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929