KUALA TERENGGANU – Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan bersubahat dengan tiga pengurus pengarah syarikat penyelidikan dan logistik yang mengemukakan tuntutan palsu pada tiga tahun tahun lalu.
Tertuduh, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, 57, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan tiga pengurus syarikat termasuk Muhammad Azmi Abdullah, 43; Azlin Md. Ashaari, 54, mengemukakan dokumen berhubung tuntutan palsu berjumlah keseluruhan RM33,300.
Tuntutan palsu yang diserahkan kepada seorang pembantu tadbir FRI Rantau Abang tersebut bagi kerja-kerja penyewaan bot dan penyelidikan spesies haiwan terancam di rangkaian pulau peranginan sekitar Terengganu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Syed Abdullah di FRI Rantau Abang, Dungun antara 8 April 2018 hingga 19 September 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai amaun dipalsukan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Muhammad Azmi dan Azlin masing-masing turut mengaku tidak bersalah atas tiga dan satu pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu masing-masing bernilai RM19,000 dan RM2,400 di lokasi sama antara Mei 2018 hingga September 2018.
Muhammad Azmi dan Azlin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda antara lima kali ganda nilai dipalsukan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929