YAN – Melakukan solat berjemaah di masjid, solat sunat, kerap berzikir dan membaca al-Quran.
Itu antara amalan arwah Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang mayatnya ditemui dalam keadaan sempurna biarpun selepas lima hari hilang setelah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dalam kejadian aliran puing di Titi Hayun di sini kelmarin.
Mayat warga emas itu dijumpai di bawah timbunan batang pokok di sebuah chalet berdekatan Air Terjun Batu Hampar pada pukul 3.23 petang.
Isteri arwah, Kalsom Abdullah, 91, berkata, arwah suaminya amat mementingkan ajaran agama dan selalu mengingatkan anak-anak, cucu serta cicit supaya tidak meninggalkan solat.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/08/imam-2.jpeg)
“Wan (Ku Shuib) seorang guru agama dan mengajar di pondok sebelum menjadi imam di Masjid Yan selama 25 tahun.
“Dua tahun lalu, arwah tidak lagi menjadi imam kerana keadaannya yang semakin uzur selepas tulang paha kanan retak dan hanya mampu terbaring,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raga di sini semalam.
Berita berkaitan: [VIDEO] Mayat bekas imam ditemui hadap kiblat
Menurut Kalsom, biarpun uzur dan mempunyai masalah ingatan, arwah suaminya tidak pernah lupa berzikir dan membaca surah-surah al-Quran.
Bercerita mengenai kejadian kepala air tersebut, Kalsom memberitahu, ketika kejadian arwah suaminya terbaring, manakala dia pula minum petang bersama anak dan cucu.
“Kejadian berlaku sekelip mata, anak dan cucu segera menarik tangan saya, namun tidak sempat menyelamatkan arwahsuami,” katanya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/08/ranap-yan.jpg)
Ujar Kalsom, sebelum ini, dia kerap bergurau dengan arwah untuk ‘pergi’ dahulu memandangkan mereka sudah berusia.
“Arwah pesan supaya saya tinggal dengan anak dan cucu serta jangan banyak merungut jika dia sudah tiada,” katanya.
Jenazah arwah Ku Shuib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Yan pada pukul 10.30 malam semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mayat warga emas yang hilang dalam kejadian aliran puing di Gunung Jerai pada Rabu lalu ditemui dalam keadaan menghadap kiblat di bawah timbunan batang pokok di sebuah chalet dekat Air Terjun Batu Hampar.