KLANG – Baru sahaja bekerja dua minggu, namun seorang akauntan wanita sebuah restoran di Bukit Raja bertindak nekad ‘songlap’ wang RM15,000 untuk pembayaran gaji pekerja dan pembekal bahan mentah, baru-baru ini.
Suspek berusia 34 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap pukul 1.40 tengah hari semalam di rumahnya di Taman Sri Menegon di sini selepas diburu hampir empat bulan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, penangkapan itu susulan laporan polis dilakukan pengurus restoran terhadap aktiviti pecah amanah dilakukan suspek.
Katanya, suspek yang bertugas sebagai akauntan tidak membuat pembayaran gaji pekerja dan pembekal bahan mentah selepas syarikat memberikan wang sebanyak RM15,000 untuk tujuan tersebut di antara 29 Mac hingga 5 April lalu.
Difahamkan, wang berkenaan bagi bayaran gaji empat pekerja dan tiga pembekal bahan mentah.
“Bertindak hasil maklumat, polis kemudiannya berjaya menahan suspek di kediamannya selain merampas dua kad mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati, suspek baru dua minggu bekerja, dan wang itu sepatutnya diguna membayar gaji empat pekerja dan tiga pembekal bahan mentah restoran tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan turut mendapati modus operandi suspek adalah bekerja sementara sebelum melakukan pecah amanah terhadap syarikat-syarikat tempatnya bertugas.
Nurulhuda menegaskan, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau dengan pecahannya empat masing-masing bagi kes pecah amanah dan penipuan.
“Suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929