fbpx

4IR: Corak semula hidup rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sejak idea tentangnya diperkenalkan pengasas Forum Ekonomi Dunia (WEF), Klaus Schwab pada 2016, seluruh dunia giat membicarakan Revolusi Industri Keempat (4IR).

Malaysia juga tidak ketinggalan dan langkah ke arah menyediakan negara untuk revolusi tersebut semakin jelas melalui pelancaran Dasar 4IR Negara pada 1 Julai lalu dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital pada 19 Februari.

Menurut Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, kedua-dua dasar tersebut bertujuan menyelaraskan usaha dalam memperkukuh pelbagai aspek melalui projek pelaburan yang strategik.

Kata beliau, salah satu aspek utama adalah infrastruktur digital dan dasar itu menggariskan tanggungjawab kerajaan yang berperanan sebagai pemudah cara selain perniagaan yang akan melabur dalam infrastruktur fizikal dan bukan fizikal, membangunkan asas kepada teknologi 4IR.

Saiful Anuar Lebai Hussen

“Bagi kerajaan, kepentingan 4IR kepada negara umumnya untuk mencorakkan semula kehidupan rakyat. Ini melibatkan transformasi dalam keseluruhan ekosistem merentasi perniagaan, industri, masyarakat dan negara.

“Ia memberikan penekanan dan membentuk cara sesuatu teknologi dan masyarakat boleh wujud secara bersama dan menyumbang kepada satu sama lain,” katanya.

Bagi Saiful Anuar, perancangan adalah segalanya. Titik perubahan ke arah 4IR yang tidak dapat dielakkan mewajibkan kerajaan untuk mempersiapkan negara untuk pekerjaan masa hadapan supaya Malaysia tidak tercicir.

Ini termasuk memperkenalkan 4IR kepada segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kebanyakannya memerlukan bantuan bagi memanfaatkan teknologi yang akan melonjakkan perniagaan mereka.

Di situ Dasar 4IR Negara memainkan peranan dengan menggariskan pelan holistik untuk memberi fokus kepada penyerapan 4IR dalam operasi PMKS, meliputi semua aspek-aspek menjalankan perniagaan dalam era 4IR.

“Daripada bantuan kewangan dalam bentuk insentif dan pembiayaan sehingga khidmat nasihat dan bantuan sokongan maklumat, kerajaan akan membantu PMKS bersedia untuk mendepani 4IR. Ini akan dapat membantu merancakkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

“Melalui teknologi baru muncul ini, Malaysia juga akan terus berada pada landasan betul menuju ke arah negara berpendapatan tinggi kerana tahap produktiviti, inovasi dan daya saing kita akan meningkat dengan pesat.

“Melalui dasar ini, kita akan dapat memanfaatkan 4IR untuk kita tidak hanya mengembangkan ekonomi, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Revolusi perindustrian melahirkan tenaga mahir yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan. – GAMBAR HIASAN

MEMANFAAT TEKNOLOGI

Menurut Saiful Anuar, Dasar 4IR Negara telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan dan keseluruhan negara yang membolehkan rakyat memanfaatkan teknologi di samping mengekalkan nilai kemanusiaan serta melibatkan kerjasama rakyat-swasta-awam bagi menangani cabaran dan mengoptimumkan peluang dalam era digital.

Jelas beliau, ia juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, satu Majlis Ekonomi Digital telah ditubuhkan yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dianggotai lima menteri, Ketua Setiausaha Negara dan wakil sektor swasta.

“Anggota majlis ini juga merupakan pengerusi bagi enam kluster khusus iaitu ekonomi, masyarakat, kerajaan, bakat digital, teknologi baru muncul serta infrastruktur digital dan data yang akan memayungi strategi-strategi dan inisiatif dalam Dasar 4IR Negara,” katanya.

INDEKS KESEJAHTERAAN

Melalui pelaksanaan Dasar 4IR Negara, kerajaan menyasarkan untuk Malaysia mencapai keputusan yang lebih baik dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) daripada 124.4 mata 2018 kepada 136.5 mata pada 2030.

Selain itu, kata Saiful Anuar, kesediaan negara untuk 4IR juga boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti sebanyak 30 peratus dalam semua sektor pada 2030, perbelanjaan kasar untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 3.5 peratus dan penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar daripada ke-68 dalam kalangan 180 negara kepada 50 teratas menjelang 2030.

“Dasar 4IR Negara ini mengambil pendekatan berpaksikan kemanusiaan seiring dengan salah satu objektifnya, iaitu membina kepercayaan dalam masyarakat digital yang inklusif.

“Maka, tiada siapa pun atau mana-mana segmen masyarakat pun yang akan ketinggalan. Segmen masyarakat ini termasuk orang asli serta golongan yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpinggir,” ujarnya.

Saiful Anuar berharap, dasar yang dirangka kerajaan dapat dijadikan panduan dalam mengukir laluan dengan menerima guna dan memanfaatkan potensi 4IR ke arah mencapai pertumbuhan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan.

Kata beliau, gelombang inovasi teknologi seterusnya akan mewujudkan peluang bagi menggandakan kemampuan rakyat Malaysia bekerja dengan lebih baik, pintar dan lancar melalui teknologi, di samping melindungi alam sekitar dan mendorong masyarakat ke arah masa hadapan yang lebih baik.

“Dasar 4IR Negara antara lain, juga dapat mempertingkat keupayaan moboliti dalam sektor awam, menyediakan insentif untuk penggunaan teknologi 4IR bagi meningkatkan prestasi perniagaan, menambah bilangan bakat dan meningkatkan teknologi dalam pertanian melalui sokongan bersepadu pelbagai agensi,” katanya.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI