PETALING JAYA – Polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
Tangkapan berasingan tersebut telah dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan pertama telah dilakukan Jumaat lalu pada pukul 4.40 petang di sebuah hotel sekitar Sungai Way, di sini.
“Suspek warga tempatan berusia 45 tahun itu ditahan bersama dadah disyaki syabu bernilai RM39,500 yang ditemui di dalam beg plastik.
“Dadah seberat 1,035 gram tersebut dipercayai boleh dibekalkan kepada 2,070 pengguna. Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Hasil semakan, suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan pada pukul 1.50 awal pagi tadi.
“Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Putra di kawasan parkir sekitar Petaling Jaya.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek berjaya menemui satu beg plastik yang mengandungi 20 peket kecil dadah disyaki syabu seberat 260 gram di kerusi bahagian hadapan sebelah penumpang,” jelasnya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929