fbpx

Suri rumah kematian suami terima pencen bulanan dan faedah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sharkar Shamsudin (tengah) diiringi Hamzi Hanifa Mahyuddin (dua dari kiri) dan Roziah Abd. Wahid (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurhaslin di Taman Sri Layang, Mentakab di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Hilang pendapatan sekelip mata selepas suami menjadi mangsa Covid-19 benar-benar memberi kesan kepada seorang suri rumah Nurhaslin Mohd. Suhaimi Udaya,30.

Dengan keadaan anak yang masih kecil berumur tiga tahun dan enam bulan membuatkan Nurhaslin yang berasal daripada Mentakab di sini itu mengalami kesukaran keluar mencari pekerjaan.

Namun bebanan ditanggung Nurhaslin mendapat pembelaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tampil menghulurkan bantuan di rumahnya di Taman Sri Layang, Mentakab di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Perkeso Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin berkata, suami mangsa yang mencarum Perkeso melayakkan isteri dan anaknya menerima beberapa faedah selepas kematian mangsa.

“Waris layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan bayaran pencen bulanan akan dibayar kepada balu seumur hidupnya dan anak-anak mangsa sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama.

“Jumlah keseluruhan pencen bulanan yang dibayar kepada waris adalah sebanyak RM2,244.37 sebulan,”katanya di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pengurus Perkeso Temerloh, Roziah Abd. Wahid.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan ujian besar ditanggung Nurhaslin yang kehilangan suami, Muhamad Izzmanudin Ibrahim,34, yang disahkan positif Covid-19 pada 11 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Mukriz Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

Dia yang berkahwin pada 2017 dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Izz Thaqil Thalhah Muhamad Izzmanudin,3, dan Muhammad Izz Qays Qarizh, 5, bulan.

Menurut Hamzi Hanifa sehingga kini Perkeso telah menyalurkan faedah kepada 24 waris di negeri ini yang mengalami kematian ahli keluarga akibat pandemik Covid-19 melibatkan 16 kes di Temerloh dan lapan kes di Kuantan.

Dalam pada itu, Nurhaslin berkata, faedah daripada Perkeso itu amat bermakna baginya untuk meneruskan kehidupan khususnya dalam membesarkan kedua-dua anaknya yang masih kecil.

“Saya berterima kasih kepada Perkeso atas bantuan ini, sebelum ini ibu saya juga menerima bantuan seperti ini selepas kematian ayah saya yang sememangnya amat membantu keluarga yang kehilangan ketua keluarga.

“Pada masa ini saya belum mula mencari pekerjaan kerana saya memerlukan masa untuk bertenang memandangkan kehilangan suami secara tiba-tiba,”ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI